wibiya widget

Jumaat, 11 Julai 2008

MEMINANG DAN BERTUNANG DALAM BANGSA MELAYU

Setelah kata persetujuan dicapai oleh keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil bertangguh. Ini kononnya kerana hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.

Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan.

Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai “putus cakap”. Ini bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian, besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.

Sekiranya dalam tempoh menunggu diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki, maka cincin dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari pihak perempuan. Berbeza pula halnya jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak perempuan. Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan oleh pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya.

Selain dari adat pertunangan yang disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang juga wujud dalam adat resam Melayu, iaitu :

• Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga kedua-dua anak itu berkahwin.

• Pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.

MAJLIS PERKAHWINAN PERKAHWINAN

Di antara kesemua adat resam orang Melayu, upacara atau aturan yang berhubung dengan perkara nikah kahwin adalah sesuatu yang amat diambil berat dan dianggap penting. Ia akan dijalankan secara besar-besaran dan melibatkan kesemua anggota masyarakat setempat yang dikenali sebagai penduduk sekampung serta seluruh sanak saudara. Oleh hal yang demikian, adat ini dikategorikan sebagai adat yang paling rumit dilaksanakan kerana memerlukan modal yang banyak untuk menjalankan kenduri kendara, majlis persandingan dan lain-lain upacara di samping memerlukan tenaga kerja yang ramai dan memakan masa yang panjang. Dalam adat nikah kahwin ini, bagi masyarakat Melayu, terdapat 3 fasa yang perlu dilalui sebelum sesebuah rumahtangga didirikan dan ia merupakan suatu adat yang perlu dipatuhi bagi melengkapkan sesuatu perkahwinan.

Khamis, 10 Julai 2008

Usul Tidak Percaya Terhadap Perdana Menteri

Oleh YB Dr Wan Azizah Wan Ismail

 Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2)

Sebentar tadi saya dengan diiringi wakil parti-parti komponen Pakatan Rakyat telah menghantar surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membawa satu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2).

Usul tersebut berbunyi:

"Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan."

Pilihanraya Umum ke-12 menyaksikan 'Tsunami Politik' yang mengakibatkan 5 negeri dan juga Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sekaligus menafikan penguasaan majoriti 2/3 Barisan Nasional.

Kemenangan tipis BN ini telah dicapai melalui manipulasi SPR dan pembohongan yang tidak bermaruah. Harga minyak telah dinaikkan secara mengejut selepas PRU walaupun Timbalan Perdana Menteri semasa melancarkan manifesto BN telah berjanji tidak akan menaikkannya. Negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat juga dianaktirikan menunjukkan sikap BN yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan federalisme. Ahli-ahli Parlimen BN yang bertindak menolak sikap pimpinan mereka yang tidak bertanggung-jawab diugut dan dipaksa supaya tidak bersuara.

Perkembangan ini mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap YAB Perdana Menteri dan kabinet beliau. Rakyat kini dilanda beberapa krisis besar seperti harga minyak yang terlalu membebankan rakyat, harga bahan makanan dan keperluan asas rakyat yang semakin mahal, keyakinan rakyat yang semakin terhakis terhadap institusi Polis, Peguam Negara dan Badan Kehakiman, Peningkatan kadar jenayah dan gejala Rasuah yang semakin membarah.

Kami yakin Dewan yang mulia ini wajar membincangkan Usul yang dikemukakan ini.

Sekian, terima kasih.

YB Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh

Pilot peluk Islam setelah pesawat bawa jenazah ulama dilindungi awan



 Tajuk diatas ialah tajuk sebuah artikel diruangan Pedoman & Iktibar majalah Mastika keluaran Julai 2008 (ms118). Ia merupakan artikel menarik selain daripada artikel mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz di ms 84. Meremang bulu roma saya setelah membaca kehebatan ulama tersebut sehinggakan di dalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam(seorang India)


Bukan itu sahaja, menurut pilot tersebut, di sepanjang penerbangan tersebut awan memayungi pesawat tersebut sedangkan tempat lain keadaan panas terik. Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew pernerbangan tersebut. Melihat kepada kejadian aneh itulah, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Subhanallah.

Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau. Antaranya :

  1. Beliau merupakan seorang yang terkenal yang berjuang atas nama Islam.
  2. Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung 6 tahun yang lepas di sebuah Hospital di Kuala Lumpur
  3. Jenazah beliau diterbangkan ke sebuah negeri di utara dengan pesawat Hercules TUDM daripada airport Subang. Selain itu jenazah beliau juga diiringi oleh polis.
  4. Disemadikan di sebuah madrasah negeri kelahiran beliau sesuai dengan wasiat beliau.
  5. Ribuan rakyat hadir dari seluruh pelusuk negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah beliau.

Itulah antara fakta2 yang dinyatakan tentang jenazah ulama tersebut. Saya yakin, berdasarkan fakta2 tersebut, ulama yang dimaksudkan ialah Almarhum Ustaz Fadhil Nor, mantan Presiden PAS.

Almarhum meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di HUKM pada 23 Jun 2002. Almarhum disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah negeri kelahirannya. Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 orang. Ramainya orang yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum sehinggakan jalan raya sesak teruk lebih 20 km. Kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km. Subhanallah.

Cerita awan memayungi pesawat yang membawa jenazah Almarhum Ustaz Fadhil Nor ini mungkin baru kita dengar. Dan ia diceritakan oleh pilot yang membawa kapal terbang tersebut. Inilah bila berjuang dengan keihklasan, balasan yang Allah tunjukkan dengan jelas kepada kita dan ia sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kehebatan & keihklasan Almarhum berdakwah dan berjuang untuk agama sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam. Sememangnya Almarhum berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Almarhum disegani teman dan lawan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.

Al-Fatihah.-tranungkite

Pertemuan PAS Terengganu dan Ahmad Said, 15 Julai

Suhaimi Taib

Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad Said, nampaknya bersedia menerima kunjungan anggota Dewan Harian PAS negeri itu bagi membincangkan isu royalti petroleum dan gas yang dikembalikan semula ke negeri itu baru-baru ini.

Serentak itu PAS negeri menyambut baik usaha berkenaan yang dijangka akan diadakan 15 Julai ini, lapor Buletin Online.

Bagaimanapun tiada laporan mengenai tempat pertemuan itu diadakan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berkata tujuan PAS mengajak kerajaan negeri Terengganu 'duduk semeja' dan berbincang adalah kerana PAS menganggap pimpinan kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, setaraf dengan pimpinan PAS.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri itu, Haji Yahaya Ali pula berkata, parti itu menyambut baik 'respons' Dato' Ahmad dan sikap terbuka untuk duduk semeja membincangkan isu tersebut demi kebaikan rakyat negeri berkenaan.

Justeru beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar itu atas kesudiannya menemui pemimpin PAS negeri berkenaan.

Sebelum itu Dato' Ahmad mengakui beliau bersedia menemui pemimpin PAS Terengganu untuk tujuan murni itu.

"Kita akan adakan pertemuan dengan Dewan Harian PAS dan perbincangan demi kepentingan rakyat, Kita akan jelaskan untuk kebaikan bersama dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang,

"Pertemuan itu antara Dewan Harian PAS dengan Menteri Besar dan bukan antara parti PAS dengan Umno...tidaklah," Dato' Ahmad Said berkata kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau berkata pertemuan tersebut dijangkakan akan diadakan pada 15 Julai ini antara Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) dengan Menteri Besar Terengganu.

Keputusan Ahmad mengejutkan kerana sebelum ini, beliau pernah menolak tawaran PAS Terengganu untuk bersama 'duduk semeja' dan berbincang dengan kerajaan negeri Terengganu berkaitan perkembangan semasa yang berlaku sekarang.

Ketika itu Ahmad bukan sahaja menolak tawaran ikhlas pemimpin PAS Terengganu, bahkan menuduh PAS cuba bermain politik.

Bahkan Ahmad Said seolah-olah memperkecil-kecilkan saranan yang dikemukakan oleh PAS bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga minyak dan tekanan yang sedang dialami oleh rakyat sekarang.

Persoalan timbul ialah sejauh mana keberkesanan pertemaun itu belum dipastikan lagi khususnya untuk melihat royalti itu dimanfaatkan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan parti.

Sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini agak bias dalam pembahagian kekayaan negeri cukup jelas apabila rakyat yang menyokong pembangkang agak terpinggir untuk mengecapi hasil tersebut.

Dengan sikap terbuka sedemikian rupa soal meminggirkan pihak pembangkang dalam apa jua pengagihan kekayaan negeri tidak lagi menjadi masalah utama.

Yang penting ketelusan dan keadilan perlu mewarnai semua kepentingan rakyat termasuk dalam soal pemerolehan kontrak kerajaan dan peluang-peluang perniagaan terbuka luas kepada rakyat negeri itu tanpa mengira parti.

Jika ada lagi benteng (wall) ini, selepas pertemuan tersebut, sudah pasti ia tidak mencapai matlamat yang dikehendaki.

Konsep tender terbuka dengan mengikut terma dan kondisi yang ditetapkan adalah satu konsep yang telus tanpa ditokok tambah dengan syarat yang tidak dinyatakan secara tersurat termasuk perlu meminta kelulusan wakil rakyat BN atau tertentu terlebih dahulu, barulah permohonan tersebut boleh dibuat.

Ataupun latar belakang parti pemohon perlu diketahui terlebih dahulu oleh Exco Kerajaan berkenaan untuk meluluskan projek. Jika diketahui pemohon ternyata penyokong pembangkang, bukan berdasarkan kelayakan dan pengalaman dan rekod kerjanya, permohonan tersebut ditolak mentah-mentah.

Ini satu lagi tindakan yang tidak memberi apa-apa erti walaupun rundingan diadakan di antara pihak-pihak terbabit beberapa kali.

Dasar kerajaan Terengganu perlulah benar-benar terbuka atau bukan kerana sebab-sebab politik tertentu pertemuan itu diadakan tetapi ianya ikhlas untuk kebaikan rakyat negeri itu seluruhnya.

Bagaimanapun pertemuan itu perlu disokong dan penghasilannya perlu diketahui umum jika untuk kepentingan umum dan mungkin ada sesuatu yang rahsia dibincangkan, terserah kepada kebijaksanaan pemimpin PAS dan Menteri Besar untuk memutuskan sesuatu yang bermakna untuk rakyat negeri itu.

Yang penting hak rakyat negeri Terengganu perlu dimanfaatkan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan parti.